"Bekam Sunnah Perubatan Wahyu"


Thursday, 6 February 2014

On 17:55 by Azizi Abd Hadi   No comments

Para saintis di Syria telah mengadakan penelitian terhadap 300 kes penyakit yang berhasil dirawat oleh bekam, dengan menjelaskan kondisi yang terjadi pada setiap kes. Hasil penelitian itu telah disimpulkan sebagai berikut; 

1) Dalam kes tekanan darah tinggi, tekanan darah turun hingga paras normal. 
2) Dalam kes tekanan darah rendah, tekanan darah naik hingga paras  normal. 
3) Terjadi penurunan ESR (Erytrocyt sedimentation rate) hingga paras normal. 
4) ECG (electrocardiogram) menjadi stabil. Dalam banyak kes, keadaan pesakit menjadi bertambah baik. 
5) Jumlah sel darah merah menjadi stabil. 
6) Penurunan kadar haemoglobin hingga kadar normal dalam setiap kes yang mempunyai kadar haemoglobin yang berlebihan.
7) Kenaikan kadar haemoglobin hingga batas normal dalam kes anemia, menunjukkan terjadinya pembetukan sel-sel darah merah yang baharu dan sihat. 
8) Kenaikan jumlah sel darah putih dalam 60% kes hingga batas normal. 
9) Kenaikan jumlah sel darah putih dalam 71 kes penyakit paru-paru.
On 07:49 by Azizi Abd Hadi   No comments

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT segalanya dipermudahkan hari ini apabila saya selesai memberi perkhidmatan terapi BEKAM SUNNAH kepada pelanggan yang bermula pada pukul 230pm hingga 430pm hari ini (Khamis 6/2/14).


Terima kasih saya ucapkan kepada Saudara A dari Teluk Mas kerana hari telah menjalani BEKAM SUNNAH buat pertama kalinya bersama Al-Hijamah Melaka


Walaupun pada peringkat permulaan pelbagai persoalan diajukan kepada saya terutamanya soalan, sakitkah bekam ini? 


Tetapi apabila setelah selesai menjalani terapi BEKAM SUNNAH, saya bertanya kepada beliau pula adakah sakit bekam ini? Beliau menjawab "geli-geli sahaja".


Ternyata apabila kita mengamalkan sunnah Rasulullah SAW segalanya dipermudahkan, semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepada yang beramal dengannya...AMin.




Wednesday, 5 February 2014

On 17:06 by Azizi Abd Hadi   No comments
SEORANG ahli bekam dari California, Amerika Syarikat, Dr. Michael Reed Gach dalam bukunya, Potent Poins: a Guide to Self Care For Common Ailments, terpaksa akur dengan kehebatan rawatan perubatan bekam yang menjadi penawar kepada pelbagai penyakit. Lantas beliau menyarankan agar ia diterapkan di dalam kehidupan seharian masyarakat di Barat, setelah melakukan pelbagai kajian saintifik mengenai bekam dan terbukti keajaiban rawatan ini yang tiada tolok bandingannya.

Begitu juga dengan penelitian oleh Kohler D (1990) sehingga diterbitkannya buku yang berjudul, The Connective Tissue as The Physical Medium for Conduction of Healing Energy in Cupping Therapeutic Methode.

Bahkan bukan Barat sahaja mengakui kehebatan perubatan bekam ini. masyarakat di negara China dan Korea turut telah mempraktikkan ilmu perubatan warisan nabi ini sejak ribuan tahun dahulu hinggakan ramai beranggapan bahawa mereka inilah pelopor kepada perubatan ini.

Sekali gus sewenang-wenangnya mengakui ia milik mereka. Walaupun ia menggunakan istilah-istilah atau nama berbeza, tetapi prinsip kerja atau metodnya adalah sama seperti bekam; menyedut, mengumpul dan mengeluarkan darah kotor.

Sedangkan hakikatnya, bekam atau dalam istilah bahasa Arabnya, al-Hijamah adalah ilmu perubatan warisan Nabi yang hampir dilupakan oleh umat Islam itu sendiri. Kata-kata penegak ini ini bukan omongan kosong.

Buku karangan Syihab Al-Badri Yasin yang bertajuk Al-Hijamah Sunnah Nabawiyah wa Mu'jizah Thoyyibah telah menyenaraikan himpunan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW mengenai ajaran dan saranan baginda berkenaan dengan bekam. 

Rasulullah SAW telah lama mengajarkan kepada kita mengenai ilmu perubatan yang efektif hampir 1,400 tahun yang lalu. Suatu terapi yang mempunyai khasiat penyembuhan yang sungguh luar biasa dan hanya terungkap sekitar abad ke 20. 

 Ia juga adalah salah satu cara detoksifikasi (buang racun) yang sesuai dan selamat bagi umat Islam tanpa kesan sampingan yang ketara. 

Diriwayatkan dalam Shahih Bukhari, Said bin Jubair berkata dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara. Pertama minum madu. Kedua, dengan pembekaman. Ketiga, dengan besi panas, dan aku tidak menganjurkan umatku melakukan pengubatan dengan besi panas. (Shahih Bukhari) 

Hadis Kedua: Dari Jabir Bin Abdillah r.a ia berkata, saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda: Jika ada yang terbaik pada ubat-ubatan kalian, maka itu terdapat pada sayatan alat bekam, minuman madu, atau sundutan dengan api yang tepat pada penyakit. Tetapi aku tidak suka berubat dengan 'kay'. (Shahih Bukhari)

Hadis Ketiga: Dalam riwayat Tirmidzi dari Ibnu Mas'ud dan riwayat Baihaqi: "Aku tidak berjalan di hadapan sekelompok malaikat pun pada malam ketika aku diisra'kan, kecuali mereka berkata, "Wahai Muhammad, perintahkanlah umatmu agar berbekam!" (Shohihul Jami': 5671)

Hadis Keempat: Tirmidzi meriwayatkan dalam Sunan-nya, dari Ibnu Mas'ud yang berkata: "Rasulullah SAW suatu ketika bercerita tentang malam ketika beliau diisra'kan, bahawa beliau tidak berlalu pada satu kelompok malaikat pun kecuali mereka menyuruh beliau dengan mengatakan" Wahai "Muhammad, Perintahkanlah umatmu untuk berbekam." 

Ahmad juga meriwayatkan dalam musnadnya, sabda beliau: "Ini (bekam) adalah sebaik-baik cara pengubatan yang digunakan oleh manusia." (Al-Bashriyyin : 19237, Shohih)

Hadis Kelima: Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya cara pengubatan paling ideal yang kalian pergunakan adalah hijamah (bekam). (Shahih Bukhari dan Muslim) Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa bekam merupakan perintah Nabi Muhammad SAW. 

Bekam juga adalah terapi yang sangat dianjurkan oleh penduduk langit. Nasihat ini merupakan penghormatan para malaikat sebagai sambutan atas kunjungan Nabi SAW. Bekam adalah nasihat emas daripada para malaikat yang berbakti kepada 'penghulu manusia' pada malam yang diberkati. Justeru, adalah sangat tidak wajar sekiranya kita yang mengakui seorang Muslim ini cuba berdolak-dalik ataupun mengabaikan kaedah pengubatan yang langsung turun dari langit ini!
On 16:20 by Azizi Abd Hadi   No comments
TRADISI bekam bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w. dan ia merupakan salah satu warisan perubatan Islam yang paling unik. 

Bekam dalam istilah Melayu membawa maksud pelepasan angin dalam badan atau pelepasan darah kotor dari badan manakala dalam bahasa Arab ia dikenali sebagai Al-Hijamah iaitu kaedah pembersihan darah atau angin dengan mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan. 

Ia menggunakan pelbagai alat seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buluh dan gelas. Bersesuaian dengan perubahan zaman, teknologi bekam menggunakan alat vakum moden yang bersih dan suci hama. 

Sejarah juga menunjukkan, kaedah bekam telah diamalkan lebih daripada 2,000 tahun lalu dengan menggunakan cawan bekam yang diperbuat daripada tembaga dan digunakan secara meluas sejak dahulu lagi. Begitu juga pada tamadun Rom, mereka menggunakan cawan tembaga reka bentuk zaman Rom dengan liang di bahagian bawah bertindak sebagai injap.

Malah tokoh perubatan tersohor dunia, Ibnu Sina (980-1037) turut mengamalkan bekam atau hijamah. 

Keistimewaan perubatan ini menular hingga ke beberapa negara seperti China, Palestin, Jerman dan negara-negara Eropah. 

Ibrahim Mokhsen, 60, yang menjalankan perniagaan rawatan bekam sejak 20 tahun lalu menyatakan, tanggungjawabnya adalah berdasarkan kepada sunah Rasulullah s.a.w. 

Daripada Anas bin Malik katanya, Baginda bersabda bermaksud: Bahawa tidak aku berlalu (berjalan) di malam Israk dengan malaikat melainkan mereka berkata, `Wahai Muhammad perintahkan ke atas umat engkau dengan berbekam.

Menurut Ibrahim, proses bekam akan berjalan dalam empat peringkat bermula dengan rawatan asas, memulihkan sakit, mengekalkan dan memelihara kesihatan.

Semasa rawatan asas, seluruh badan perlu dibekam contohnya di bahagian kepala, yang dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak melebihi seminggu. Selepas itu, ia akan meliputi seluruh badan. 

"Tujuan utama untuk membuang keracunan dalam darah, memulihkan saraf-saraf dan organ-organ dalam badan. Di samping itu, ia juga penting untuk membetulkan sistem badan dan memudahkan pengaliran oksigen,'' ujar beliau yang mula mempelajari kaedah berbekam daripada bapa saudaranya seawal usia 12 tahun.

Selesai rawatan tersebut, Ibrahim akan menjalankan rawatan pemulihan secara berulang sehingga penyakit sembuh. Walaupun telah sembuh, mereka perlu mengulangi rawatan bagi mengekalkan kesihatan. Ini amat penting supaya pesakit berasa selesa dan segar. 

"Berbekam tidak sahaja pada yang berpenyakit tetapi mereka yang sihat juga boleh melakukannya, sekurang-kurangnya setiap enam bulan sekali. Sebaik-baiknya ia dilakukan pada bulan Rejab ataupun Syaaban bagi mendapat keberkatan dari Allah s.w.t.,'' katanya yang membuka klinik di Taman Melawati, Kuala Lumpur. 

Ibrahim turut dibantu isterinya, Jama'iyah Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ummu, 50, dan anaknya, Mohd. Mujahid, 19 tahun.

Kebiasaannya, darah yang disedut keluar berwarna kehitam-hitaman dan kadang-kadang mempunyai lendir , lemak dan benda-benda keracunan yang lain. Pernah suatu ketika, cerita beliau, ada juga darah yang disedut keluar mempunyai lapisan putih seperti susu di bahagian atasnya yang berpunca daripada kesilapan mengamalkan ubat-ubatan yang tidak sepatutnya.

"Darah yang terdapat di dalam badan yang tidak berfungsi lagi untuk tubuh, akhirnya membawa keracunan dan mengakibatkan sistem tubuh lemah.

"Jika tidak dibuangkan, toksin tadi akan menyebabkan badan tidak boleh bertahan dan terjadilah penyakit seperti buah pinggang, kencing manis dan penyakit lain yang merbahaya,'' kata Ibrahim yang mengamalkan bacaan surah al-Fatihah dan selawat Nabi, acap kali merawat pesakit.

Sepanjang pengalaman, beliau pernah berhadapan dengan pesakit Aids yang boleh dikesan melalui naluri dan mindanya. Malah tekaannya tidak pernah salah, sebaliknya mereka akan mengaku.

Ketika berhadapan dengan situasi ini, Ibrahim sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keadaan dirinya terkawal dan tidak dijangkiti. 

Selain diiringi bacaan doa dan ubat-ubatan, segala kelengkapan yang disediakan juga diasingkan daripada pesakit lain. Mereka ditempatkan dalam bilik khas. 

"Kita boleh kesan, penyakit seseorang berdasarkan rupa parasnya. Alhamdulillah, setelah rawatan dijalankan, dia mula menampakkan perubahan sedikit demi sedikit,'' ujarnya yang menjalankan rawatan pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis.

Bagi yang telah mendapatkan rawatan bekam, mereka akan merasakan perbezaan dari segi kecergasan otak, sendi-sendi jadi ringan, wajah berseri dan tidak ditumbuhi jerawat, tubuh semakin bertenaga, bau badan wangi dan seluruh organ dalaman badan bertambah sihat.

Walaupun berbekam adalah sunah Rasulullah s.a.w. dan sesiapa yang melakukan pasti mendapat rahmat dari Allah s.w.t., beliau menasihati agar orang ramai tidak melakukannya di kaki-kaki lima kerana bimbang aspek kebersihannya.

"Sepatutnya, ia dilakukan dalam tempat tertutup dan bilik khas yang disediakan. Peralatan yang digunakan juga haruslah bersih dan selamat daripada sebarang jangkitan kuman yang boleh memudaratkan,'' tegas Ibrahim yang berpendapat kaedah rawatan bekam pada masa sekarang dan zaman Rasulullah s.a.w berbeza dari segi teknologi dan kelengkapan peralatannya. 

SUMBER: UTUSAN 

Tuesday, 4 February 2014

On 17:56 by Azizi Abd Hadi   No comments
RASULULLAH s.a.w. bersabda: Sebaik-baik perubatan bagi kamu ialah berbekam. (Riwayat Ahmad) 

Proses meangeluarkan darah kotor melalui kaedah berbekam adalah diharuskan dalam Islam kerana ia bersifat satu sunah untuk mengubati penyakit. 

Menurut Pensyarah di Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Ishak Suliaman, amalan bekam telah lama diamalkan sejak zaman Rasulullah s.a.w. dan ia merupakan kaedah perubatan yang terbaik dalam Islam. 

Dalam analisis para ulama, Nabi berbekam di tengkuk berdasarkan kepada punca dan tempat penyakit dikesan. Malah terdapat sebuah hadis daripada Sahih Bukhari, Baginda bersabda: Berbekam di kepala, ujar beliau yang turut mempunyai pengalaman berbekam secara tradisional.

Berkongsi ceritanya, akui Ishak, pertama kali melakukan bekam secara tradisional di kampungnya di utara tanah air, semasa proses menarik darah menggunakan alat tersebut, beliau dapat merasakan kepalanya dalam keadaan tegang dan kesan yang dirasakan selepas itu, amat baik. Malah ia tidak menyakitkan, walaupun proses berbekam melibatkan sedikit torehan kecil dan hisapan darah kotor keluar daripada badan. 


Diriwayatkan daripada Aasim bin Umar Ibnu Qatadah katanya, Sesungguhnya Jabir bin Abdullah menjenguk Al-Muqanna' yang sedang sakit kepala, kemudian berkata: Aku tidak pulang sebelum engkau mahu berbekam, kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya di samping berbekam itu ada pengubatnya. 

Tradisi perubatan itu diterima dalam beberapa tamadun dan ia amat popular di kalangan masyarakat Cina. Di China misalnya, mereka menggunakan alatan seperti buluh. Ini menunjukkan, bekam adalah satu kaedah perubatan yang bersifat global dan tidak terhad di kalangan umat Islam. 

Bagaimanapun, wujud persoalan sama ada berbekam dibenarkan semasa menjalani ibadah puasa. Beliau menjelaskan, apabila seseorang itu berbekam di bulan Ramadan ataupun puasa sunat adalah diharuskan kerana Rasulullah s.a.w. pernah berbekam ketika baginda sedang berpuasa. 

Terdapat hadis yang diriwayatkan Ibnu `Abbas, beliau berkata, ``Nabi Muhammad s.a.w. pernah berbekam padahal baginda sedang berpuasa.'' (Riwayat Bukhari) 

Sebenarnya, perbuatan ini tidak menjadi kesalahan kalau mereka berbekam di bulan puasa. Puasa juga tidak perlu diganti kerana bekam diharuskan,'' ujar beliau merungkai persoalan tersebut. 

Mengikut Imam As-Syafie dan jumhur ulama berpendapat, berbekam adalah harus bagi seseorang yang sedang berihram dan tidak dikenakan fidyah, selagi dia tidak memotong rambutnya. Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Buhainah, Nabi Muhammad s.a.w. berbekam di bahagian tengah kepala ketika Baginda berada di sebuah tempat menuju ke Kota Mekah, Baginda dalam keadaan berihram. 

 Ishak turut menerangkan bahawa adalah diharuskan bagi seseorang itu menjadikan bekam sebagai satu kerjaya dan mengambil hasil daripadanya kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang memanfaatkan orang ramai. 

Hadis Anas bin Malik, beliau berkata; Rasulullah s.a.w. pernah berbekam dan yang membekam baginda adalah Abu Taibah. Baginda memerintahkan agar Abu Taibah diberi dua gantang makanan dan memberitahu kepada keluarganya, bahawa mereka membebaskan pajaknya. Kemudian baginda bersabda: Sebaik-baik perbuatan yang kamu guna untuk berubat adalah berbekam atau berbekam adalah ubat yang paling baik bagimu.

Ini adalah satu pekerjaan yang mengikut ilmu perubatan kerana ia mempunyai prosedur dan tatacara yang harus dipatuhi. Pengamalnya harus bertanggungjawab dan profesional terhadap pekerjaannya. Tambahan pula, banyak pusat rawatan bekam di buka seluruh negara,'' katanya yang sependapat bahawa kaedah bekam adalah perubatan terbaik bagi umat manusia.

Berdasarkan kepada amalan perubatan Islam, Rasulullah s.a.w. menyarankan tiga kaedah mengubati penyakit seperti yang terkandung dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda: Kiranya ada suatu perubahan yang lebih baik dari kamu, maka itulah dengan menggunakan pisau pembekam atau minuman daripada madu atau catukan (pagutan) dengan api dan aku sendiri tidak suka membakar dengan besi panas. 

 Sabda baginda lagi yang maksudnya: Kesembuhan itu terdapat pada tiga cara: minum madu, pisau pembekam dan alat pengangus dan aku melarang umatku membakar dengan besi panas. (Riwayat Bukhari) 

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai agar memilih pusat rawatan bekam yang bersih dan selamat sama ada dari segi penggunaan alatan dan pengurusannya.

On 17:40 by Azizi Abd Hadi   No comments
Ab. Aziz Al-Safi Ismail menerima jambangan bunga daripada keluarganya selepas menyampaikan syarahan mengenai Bekam dan Amalan Sunnah Mencegah Penyakit Kronik sempena Syarahan Umum Pelantikan Profesor di USM Kubang Kerian, semalam.
KOTA BHARU 29 Jan. - Hasil kajian yang dijalankan seorang penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati rawatan berbekam mampu mengawal penyakit diabetes serta mengurangkan risiko untuk menghidapi penyakit kardiovaskular.

Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian, Prof. Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail berkata, kajian yang dijalankan sejak dua tahun lalu itu membuktikan paras gula dalam darah boleh menurun apabila rawatan tersebut dijalankan secara konsisten.

Beliau berkata, bukan sahaja paras gula dalam darah tetapi semua parameter fungsi ginjal seperti serum urea, kreatinin dan asid urik yang mendorong kepada penyakit diabetes turut menunjukkan penurunan apabila melakukan bekam.

"Secara tidak langsung, masalah gout juga dapat dikawal kerana kadar asid urik dalam tubuh berkurangan selepas menjalani rawatan.

"Melalui kajian tersebut, didapati berbekam mampu menurunkan risiko sakit jantung dan strok dengan menurunkan antigen Von Willebrand dan meningkatkan fungsi endotelial," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Syarahan Umum Pelantikan Profesor mengenai Bekam dan Amalan Sunnah Mencegah Penyakit Kronik di Dewan Utama, USM di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.

Ab. Aziz berkata, kajian yang ditaja oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menunjukkan kelebihan berbekam hanya dapat dirasakan jika melalui rawatan setiap empat bulan atau 120 hari.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dia kini giat berbincang dengan hospital kerajaan dan swasta bagi mewujudkan perkhidmatan perubatan tradisional kepada pesakit secara pilihan.

"Selain manfaat berbekam, perkhidmatan alternatif ini perlu diwujudkan di hospital-hospital sebagai menjamin kebersihan peralatan berbekam yang digunakan.

"Pada masa sama, saya melihat berbekam ini juga dapat mengurangkan pengantungan ubat-ubatan apabila menjalani rawatan tersebut secara konsisten," katanya.

Dalam majlis tersebut, Profesor Dr. Siti Amrah Sulaiman turut menyampaikan syarahan 
Zumum mengenai Madu Lebah Penawar Penyakit Sepanjang Zaman.
Menurut beliau, hasil kajian yang dilakukan mendapati madu boleh digunakan untuk merawat penyakit.

"Berdasar kajian terhadap haiwan diabetes, 'madu menolong' menurunkan paras gula dalam darah dan mengembalikan tahap keupayaan anti oksidan dan melambatkan kerosakan organ seperti ginjal.

"Gabungan madu dan ubatan diabetes menunjukkan hasil positif dan dijangka boleh mengurangkan masalah komplikasi penyakit tersebut," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN


 

Wednesday, 29 January 2014

On 19:52 by Azizi Abd Hadi   No comments
HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.
Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui. 

“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.
Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.

Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.

“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

Satu daripada dua

Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.

“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.

“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.
“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.
Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.

Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah. 

Akupuntur

Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.

Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.

“Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.
“Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.
Bagi rawatan bekam pula, Nik Omar berpendapat amalan itu mempunyai manfaat yang cukup banyak kerana dapat mengeluarkan toksik daripada darah.
  “Ia juga dapat membuang darah kotor dalam badan. Jika diamalkan mengikut nasihat pengamal perubatan tradisional terlatih, tekanan darah tinggi boleh menjadi normal semula.

Bagi pakar pemakanan, Dr. Fatimah Arshad menjelaskan, penghidap darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.

“Kurangkan makanan berlemak dan banyak makan sayur-sayuran serta buah-buahan segar. Jangan makan buah betik yang dibuat rojak. Kicap mengandungi garam yang tinggi.

“Kurangkan penggunaan belacan untuk masakan, begitu juga ikan dan telur masin. Makanan segera pula harus dielakkan,” katanya.

Sumber: Kosmo